Rabu, 7 Jun 2017

Saya membela ketua pasukan - Rudie



ARKIB : 23/11/2005

BACOLOD CITY - Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Rudie Ramli mempunyai alasan kukuh yang mendorong dia bertindak mengikut perasaan sehingga mengumpul dua kad kuning dan dibuang padang ketika menentang Kemboja, kelmarin.

Kad kuning yang dilayangkan oleh pengadil U Win Cho dari Myanmar pada minit ke-17 selepas menyiku Om Thavrak semata-mata atas niat murni untuk membela ketua pasukan, Fadzli Shaari yang dikasari teruk oleh pemain lawan.

Kad kuning kedua pada perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan SEA ke-23 di Filipina di Stadium Panaad itu pula sebenarnya masih boleh dielakkan jika dia mendengar tiupan wisel oleh pengadil berkenaan dan mungkin diberikan amaran.

``Tindakan saya menyikunya datang secara tiba-tiba, semata-mata kerana pemain itu sudah beberapa kali mengasari kami termasuk saya sendiri. Saya hanya bertindak kerana sebagai rakan sepasukan Fadzli, tidak lebih daripada itu,'' katanya di sini, semalam.

Rudie yang sempat menyumbat gol ketiga Malaysia menerusi rembatan kaki kiri ketika membelasah Kemboja 5-0, dibuang padang ekoran kad kuning kedua yang diperoleh gara-gara menyepak bola biarpun Win Cho sudah membunyikan wisel.

``Saya tidak mendengar tiupan wisel tetapi alangkah baik kalau pengadil itu hanya menjelaskan saya terlebih dulu dan memberikan amaran kalaupun saya bersalah,'' ujarnya.

Gara-gara hukuman itu yang secara automatik mendorong penggantungan satu perlawanan, dia akan menjadi penonton di tempat duduk Stadium Panaad ketika rakan sepasukannya menentang juara bertahan, Thailand, Ahad ini.

Fadzli dan Rudie merupakan dua pemain yang pernah dihantar berlatih di kelab Jerman, SV Wehen malah beberapa kali menyarung jersi skuad senior kebangsaan sejak di bawah bimbingan oleh Alan John Harris dari England pada 2001.

Mereka bagaimanapun tidak bergandingan dalam skuad pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA di Vietnam, dua tahun lalu kerana Rudie digugurkan oleh Harris.

Namun, Rudie cuba melupakan kenangan pahit kerana kali pertama dibuang padang dalam karier antarabangsanya itu dengan menganggapnya satu pengajaran berguna supaya lebih sentiasa berhati-hati pada masa hadapan.

``Mujurlah ketua jurulatih (Norizan Bakar) dan rakan-rakan sepasukan tidak berkata apa-apa tentang itu tetapi bagi saya, dua kad kuning akan sentiasa dijadikan pengajaran selepas ini,'' katanya.

Norizan turut enggan memanjangkan tindakan pengadil membuang anak buahnya itu sehingga menjadi isu besar, berkata: ``Kami ada banyak tugas yang lebih penting untuk dilakukan. Masing-masing ada tugas di atas padang dan kami menghormati keputusan itu.''

Tanpa Rudie, Malaysia terpaksa turun menentang Thailand dengan menyenaraikan penyerang gantian, Mohd. Nor Ismail. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jKPUXiP8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 15 Mac 2017

Azam Rudie untuk kuasai Liga Jerman



ARKIB : 23/02/2001
BERAKSI bersama kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen 1926 hanya satu permulaan buat penyerang berbakat negara, Rudie Ramli.

Pemain kelahiran Selangor itu sebenarnya mempunyai matlamat yang lebih besar, menguasai Liga Jerman (Bundesliga) satu hari nanti.

Malah, seandainya dikurniakan ``tuah'' serta bakat yang berpanjangan dan terus menyinar, Rudie percaya tidak mustahil untuknya mencipta nama di Eropah.

Langkah Rudie tidak sumbang sebaik memulakan cabaran bersama kelab barunya itu apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan sulung.

Kecemerlangan itu jelas menunjukkan anak muda dari Gombak ini berjaya mengatasi kerisauan awalnya mengenai komunikasi, makanan dan cuaca yang dikhuatiri akan menjadi masalah utama.

Bercakap soal masalah komunikasi, pemain remaja berusia 19 tahun itu berkata: ``Saya bercadang untuk belajar bahasa Jerman.

``Saya bersungguh dengan apa yang saya katakan. Selepas beberapa minggu berada di sana nanti saya akan minta pertolongan daripada pegawai atau rakan-rakan sepasukan untuk menguruskan perkara ini.''

Rudie dan Fadzli mengikat kontrak empat bulan bersama SV Wehen bermula 1 Februari hingga 30 Jun dengan menerima bayaran DM3,000 (RM5,500) sebulan.

Kedua-dua remaja ini turut bernasib baik kerana mendapat perhatian penuh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyumbangkan RM3,000 setiap seorang.

Rudie dan Fadzli adalah segelintir daripada pemain remaja negara yang berpeluang beraksi di Eropah selepas Akmal Rizal dan Juzaili Samion menyertai kelab Perancis, FC Haguenau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bPS5Oeic
© Utusan Melayu (M) Bhd